Kenali e-Dasar Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM)

Pineapple Bismillahirrahmannirahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Sayang USM,
Usaha-usaha membangunkan dokumentasi dasar Perpustakaan ini telah dimulakan sejak penubuhan Perpustakaan. Dasar-dasar dibangunkan dengan tujuan untuk mengawal selia segala bentuk operasi Perpustakaan agar sentiasa berjalan di landasan yang betul dan dapat dibangunkan ke arah lebih cemerlang serta lestari. Dokumentasi dasar juga direkabentuk dan diwartakan untuk menghuraikan pegangan atau arahan, peraturan, dan panduan serta proses kerja supaya dapat dilaksanakan dengan tersusun rapi dan sistematik. Dengan itu, dokumentasi dasar ini sentiasa menjadi rujukan kepada semua staf Perpustakaan sebagai petunjuk dan punca kuasa kepada segala tindakan serta perlaksanaan tugas dengan penuh sikap tanggungjawab dan amanah.
Namun, kaedah penyimpanan dokumen dasar ini telah lama dilakukan secara konservatif. Dokumen dasar hanya boleh diakses di Bahagian dan Unit tertentu secara berasingan. Atas keperluan perkembangan teknologi semasa, proses membangunkan laman sesawang e-Dasar perlu dilaksanakan.
Syukur Alhamdulillah Perpustakaan Universiti Sains Malaysia kini telah berjaya membangunkan laman sesawang e-Dasar Perpustakaan untuk diakses oleh staf Perpustakaan. Setakat ini, terdapat 6 dasar induk, 1 terma rujukan, 17 panduan dan 3 peraturan disusun rapi dalam laman sesawang ini.
Dengan wujudnya laman sesawang e-Dasar Perpustakaan ini, diharapkan staf Perpustakaan dapat merujuk segala bentuk dasar yang dipaparkan dengan lebih mudah, pantas dan tepat sekaligus meningkatkan prestasi tugas yang dilaksanakan dengan lebih efisyen dan efektif sesuai dengan amalan kerja pada zaman perkembangan teknologi maklumat ini.
Sekian, terima kasih

Rugayah Ali
Ketua Pustakawan
Universiti Sains Malaysia